Bermulanya Semester baru, pastinya semua orang mempunyai azam baru! Semangat baru! Lebih-lebih lagi kami yang baru sahaja melangkah masuk ke tahun ke-3 pengajian perubatan di FMSMU ini. Seperti kata senior dan benarnya kata mereka, tahun ke-3 adalah yang paling mencabar kerana banyak subjek-subjek 'berat' (penting). Ditambah lagi dengan kerja-kerja DnT, pastinya kadang-kala kita akan tercungap-cungap seperti ikan yang baru diangkat dari laut.
Namun, seperti kata-kata seorang akhawat yang dirindui yang mendapat teguran ini daripada seorang ustaz, "apabila seseorang meminta bantuan daripada kamu, kamu tidak boleh katakan tidak kerana kamu busy. setiap orang mempunyai jumlah jam yang sama dalam sehari, iaitu 24 jam. maka, orang yang katakan dia busy adalah orang yang tidak pandai menguruskan masanya."
Ayatnya taklah tochna (maksud: exactly) macam ini tapi itulah isi yang nak disampaikan.
Maka pastinya, saya akan katakan, "Everything is POSSIBLE, and nothing is impossible"
Azam baru tak perlulah ditulis di sini kerana terlampau banyak dan pastinya post ini akan menjadi panjang berjela dan setiap orang pun mempunyai azam masing-masing.
Bila melihat azam-azam baru yang telah disenaraikan, kita pun berasa bangga dan bersemangat untuk mencapai setiap satu daripada azam tersebut!
Namun persoalannya, adakah benih-benih semangat yang ditanam di dada akan tumbuh menjadi pokok-pokok yang segar-bugar sepanjang tahun? Atau pada mulanya cukup segar namun di pertengahannya mula layu dan akhirnya mati? Atau benih-benih tersebut langsung tidak dapat memulakan kehidupannya?
Ibarat pisang goreng panas. Yang hanya sedap dimakan sewaktu panas dan tidak lagi sedap apabila sudah sejuk lalu akhirnya dimakan oleh tong sampah.
Jadi, bagaimanakah nasib semangat yang telah ditanam di dada kita itu?
Bagi memastikan pokok-pokok semangat kita terus segar-bugar pastinya kita mengharapkan istiqamah untuk hadir di dalam diri. Namun, istiqamah juga, jika dianggap seperti pisang goreng, pastinya ia akan berakhir sebelum sempat membuahkan hasil.
Dan kita sering mengeluh, susahnya nak istiqamah.
Sebelum itu, apakah maksud istiqamah?
Dalam banyak-banyak laman web yang memaparkan definisi istiqamah, saya ingin mengambil yang ini.
"Apa sahaja yang kita lakukan setiap hari, rupa-rupanya terangkum dalam satu ungkapan wasiat Nabi s.a.w bernama - istiqamah.
Istiqamah itu adalah teguh di atas jalan yang lurus, seperti kata Saidina Umar bahawa istiqamah itu adalah berdiri mematuhi suruhan dan menjauhi larangan Allah tanpa berubah-ubah." Amiza Khusyri
Diri ini mempunyai banyak cita-cita yang sangat besar tetapi masih banyak kelemahan dan kekurangan, membuatkan saya berfikir bagaimana untuk mencapai istiqamah dalam perubahan yang ingin saya lakukan. Alhamdulillah dengan nikmat akal yang Allah berikan, saya terfikirkan satu formula yang ingin saya kongsikan dengan semua yang saya rasa mampu dilaksanakan dan seterusnya menjayakan kita dalam mencapai istiqamah serta apa yang diazamkan.
MUJAHADAH + DOA = ISTIQAMAH
Mujahadah.
Pertama-tamanya, kita mestilah bermujahadah! Bermujahadah dalam melawan nafsu malas, nafsu makan, nafsu facebook, nafsu bersembang, nafsu tidur dan sebagainya. Mujahadah itu sangatlah penting dalam membentuk jati diri yang utuh dalam diri kita. Insyaallah, dengan melatih diri kita untuk bermujahadah, kita akan menjadi seorang yang kuat, sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua keadaan.
Doa.
Doa itukan senjata mukmin. Ramai yang tidak percaya dan bermalas-malasan untuk berdoa. Tetapi, ketahuilah bahawa doa ini sebenar-benarnya senjata kita. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 186,
"......Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku......"
Maka berdoalah kepada Allah agar dikurniakan istiqamah dalam amalan-amalan kita. Berdoalah agar amalan kita diberkati-Nya. Berdoalah agar amalan kita diterima oleh-Nya. Berdoalah agar kita dapat mencapai kejayaan yang kita inginkan. Berdoa, berdoa dan teruskanlah berdoa.
Bila persamaan (equation) yang saya tuliskan di atas adalah Mujahadah + Doa, bermakna kita perlu melakukan kedua-duanya untuk mendapatkan istiqamah itu.
Bermujahadahlah melawan nafsu dan berdoalah kepada Allah. Insyaallah kita akan istiqamah dalam amalan dan usaha kita.
Dan akhirnya, pokok-pokok semangat kita juga pastinya akan sentiasa segar. Insyaallah.
Oh, sedikit pesanan penaja, lakukan segalanya dengan bersungguh-sungguh ya, bukannya seperti hangat-hangat tahi ayam kerana Allah akan sentiasa melihat usaha kita.
ps:// segala yang disampaikan pastinya peringatan buat diri ini terutamanya. bagi yang mengenali, ingat-ingatkanlah saya. ayuh, sama-sama kita menuju kejayaan!
No comments:
Post a Comment