"Dan Tuhanmu berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu..."
(Surah Ghafir : 60)
Setiap hari kita berdoa kepada Allah. Paling kurang pun, doa selepas solat. Dan lazimnya, apabila kita ada sesuatu untuk dihajatkan, kita akan lebih rajin berdoa kepada-Nya. Bukan setakat selepas solat, tapi setiap kali teringat akan hajat kita itu. Betul tak?
Dan kebiasaannya juga, tidak selalu kita dapat apa yang kita doakan. Punyalah sungguh-sungguh kita doa, setiap hari buat solat hajat tapi masih tak dapat-dapat apa yang dihajatkan. Lama-kelamaan semangat nak berdoa dan pohon pada Allah pun semakin luntur. Doa pun sudah jadi pendek dan berkata, Ya Allah sungguh Kau tahu apa yang aku inginkan, tanpa menyebut dengan jelas apa sebenarnya yang kita mahukan.
Hmm, kawan-kawan, jangan jadi macam orang di atas ini. Jujurnya, sayalah insan yang pernah berkelakuan seperti di atas.
Ada beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian dalam berdoa kepada-Nya. Ini adalah apa yang saya dapati sebagai pengajaran daripada sikap saya di atas.
FAHAM
Pendapat saya, kita kena faham dulu dengan apa yang kita doakan, apa yang kita hajatkan. Kita seharusnya memahami kenapa kita berdoa kepada-Nya. Kenapa ya kita berdoa? Setiap hari pula tu. Doa bukan sahaja untuk memohon sesuatu hajat kepada Allah tetapi yang sebenarnya doa adalah untuk menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah. Apabila kita berdoa, kita sebenarnya yakin akan kuasa-Nya sebagai Rabb yang mampu memberi apa sahaja kepada kita, ataupun menarik balik apa yang ada. Orang yang tidak meletakkan pergantungannya pada Allah masakan pula akan berdoa kepada-Nya? Kita sememangnya wajib untuk meletakkan pergantungan pada Allah kerana sesungguhnya hanya Dialah yang berhak menghidupkan dan mematikan.
Seterusnya kita kena faham apa yang kita hajatkan. Atas sebab apa kita memohon sesuatu itu? Adakah demi kebaikan duniawi semata-mata? Demi ukhrawi? Atau kedua-duanya? Bila sesuatu hajat kita tidak dimakbulkan, kita refleksi kembali, kenapa sebenarnya kita memohon hajat itu? Untuk apa? Kepentingan sendiri? Kepentingan ummah? Jadi, kembalilah semula pada niat. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang kita sendiri tidak ketahui. Selami diri, carilah hati.
"Setiap amal perbuatan itu disertai dengan niat dan setiap orang mendapat balasan amal sesuai dengan niatnya."
SUNGGUH-SUNGGUH
Saya selalu teringat peribahasa kegemaran seorang sahabat saya, "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Kita berdoa mestilah dengan bersungguh-sungguh. Setiap amal kita pun mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Doa kita itu boleh jadi disebut dalam hati atau secara lisan. Memang kebanyakan masa kita berdoa dalam hati tetapi ketahuilah bahawa doa secara lisan itu lebih memberi kesan.
Cuba kita bayangkan, kita telah menemui sesuatu yang menarik dan sangat kita inginkan. Ibu kita di rumah sebenarnya sudah pun mengetahui mengenai hal itu dan menunggu-nunggu kita untuk menceritakan kepadanya. Manalah tahu, ibu mampu untuk memberikan. Bila sampai waktunya kita menceritakan penemuan kita serta hasrat kita itu, pasti ibu akan berasa lebih gembira kerana akhirnya kita bersuara dan bercerita kepadanya. Dengan itu, ibu akan berasa disayangi dan diperlukan.
Begitu jugalah sifat Allah. Namun, Allah itu jauh lebih Mengetahui dan Diperlukan oleh kita. Maka janganlah kita mengambil mudah dengan sifat Allah yang telah Mengetahui apa yang kita hajatkan sehingga tidak kita sebutkan. Allah sebenarnya mahu kita berdoa dengan Dia, berbicara dengan Dia, tunjukkan yang kita sangat memerlukan Dia.
JANGAN PUTUS ASA!
Ini adalah antara prinsip yang menguatkan semangat saya. Tidak kira apa yang berlaku, jangan sekali-kali kita berputus asa dengan Allah. Jangan berputus asa berdoa kepada-Nya. Jangan berputus asa dengan rahmat-Nya. Firman Allah swt,
"Katakanlah, "Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Az-Zumar : 53)
ALLAH MAHA MENGETAHUI
Kita kena sentiasa ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Boleh jadi apa yang kita mahukan itu sebenarnya tidak baik untuk kita dan boleh jadi benda yang tidak kita inginkanlah sebenarnya yang terbaik untuk kita.
"Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)
Satu lagi, kita kena terima dan faham, ada sebab kenapa Allah belum memakbulkan doa kita itu. Allah tahu, belum tiba masanya untuk kita menerima apa yang dihajatkan dan Allah tahu bila waktu yang paling sesuai untuk dimakbulkan doa itu. Kita sahaja yang tidak tahu.
Boleh jadi Allah tidak terus makbulkan doa kita kerana takut akan ada perasaan riak di hati kerana baru sahaja sekali berdoa Allah telah makbulkan. Mungkin juga Allah sengaja melambatkan kerana Dia ingin mendengar rintihan kita, mendengar doa kita pada-Nya, menguji sejauh mana kebergantungan kita kepada-Nya.
Dan janganlah kita bersedih jika tidak dimakbulkan juga doa kita, mungkin Allah akan berikan pada masa akan datang dan lebih baik lagi, di akhirat kelak. Kita tidak akan pernah tahu.
USAHA
Doa, doa, doa kalau tiada usaha tiada guna juga. Ha, masuk pasal usaha ni lagi panjang tapi saya ringkaskan. Action speaks louder than words. Jangan cakap dan doa sahaja tapi kalau tak usaha untuk mendapatkan apa yang kita nak, kita takkan dapat juga. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Alkisahnya yang membuatkan saya teringin menulis post ini adalah sebab baru-baru ini salah satu doa yang telah lama saya panjatkan akhirnya termakbul. Dulu saya lemah. Saya hanya mampu berdoa dan tidak melakukan apa-apa. Saya sentiasa memohon kekuatan daripada-Nya tetapi saya masih tidak berani.
Akhirnya, saya bermuhasabah kembali, cuba untuk mengubah cara saya berdoa. Dan hari itu, saya mendapat semangat dan kekuatan. Saya melaksanakan apa yang sepatutnya tanpa menghiraukan apa yang bakal terjadi selepas itu. Alhamdulillah, doa itu termakbul. Walaupun hanya sebahagian daripadanya. Saya yakin, jika saya meneruskan usaha dan konsisten dengan apa yang telah saya dapat, insyaAllah tidak mustahil keseluruhannya akan termakbul. InsyaAllah.
Nak tahu berapa lama saya mengharapkannya? Boleh lah 4 tahun kot.
Jadi, saya sebenarnya hanya ingin berkongsi dengan anda semua. Bersabarlah, dan yakinlah dengan Allah. Saya ni bermasalah juga orangnya. Saya berharap apa yang saya sampaikan di atas sedikit sebanyak dapat membantu anda dan kita semua dalam memperbaiki hubungan dengan Allah swt ^^
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment