"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam islam secara KESELURUHAN dan janganlah kamu ikuti langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu." (2:208)

09 March 2012

Turkiye!

Bismillahirrahmanirrahim.


Ini adalah post yang sepatutnya sudah lama di post tetapi atas sebab-sebab tertentu post ini tidak di post. hihi.


Ini adalah kisah jaulah saya pada bulan Januari yang lepas. heee :D



Ini Kisah KeOSEMan Jaulah Kami

Pernah tak, kita tengok movie action-thriller dan merasakan adrenaline-rush meresapi tulang-belulang kita? Kemudian kita mula membayangkan kalau kita yang berada di dalam movie itu? Dan kita pun mula membuat aksi-aksi tersendiri, merasakan kita lebih hebat daripada hero di dalam movie itu. Pernahkah? Tidakkah?

Ketahuilah, real live drama lebih mencabar, lebih action, lebih thrill, lebih segala-galanya daripada drama di kaca tv.

Inilah kisah adventure jaulah kami.

“Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi, carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung” (Al-Jumu’ah : 10)

“Maka apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di bumi, lalu memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu lebih banyak dan lebih hebat kekuatannya serta (lebih banyak) peninggalan-peninggalan peradabannya di bumi, maka apa yang  mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka.” (Ghafir : 82)

Menyahut seruan Allah, hati kami dipertemukan dan disatukan untuk sama-sama berjaulah di bumi Turki, menyusuri sejarah Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan yang pastinya Penaklukan Constantinople. Tinggalan-tinggalan yang masih ada memang terasa ruhinya. Merasakan diri kami lebih dekat dengan sejarah yang telah meninggalkan kami.

Bermulanya REAL live drama kami pada hari kelima jaulah.

Perjalanan dimulakan awal pagi lagi kerana mengejar jadual feri pada jam 8.30 pagi. Hari ni kami akan ke luar Istanbul! Ya, arah tuju kami adalah Bursa.

Pakcik Fuat, pertemuan yang tidak dirancang oleh kami tapi dirancang oleh Allah. Pakcik Fuat membawa kami ke Bandar Bursa dengan van pelancong beliau yang sangat selesa. Salji yang lebat menyebabkan kami tidak dapat menaiki Ulu Dag (Great Mountain - Mount Olympus) dengan teleferik (cable car) yang dinanti-nantikan oleh kami. Ulu Cami (Great Mosque) dan Kapali Carsi (Covered Bazaar) menjadi destinasi. Pakcik Fuat yang baik itu juga me-rekomenkan restoran yang paling sedap di situ. Sedap makan, sedap juga wang yang dikeluarkan. Keh keh keh.

Jam baru menunjukkan pukul 4 petang tetapi Pakcik Fuat sudah mengajak untuk bertolak pulang ke Ferry Dock. Jadual feri kami adalah pada jam 7.30 petang. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang sejam (berdasarkan perjalanan pergi). Kami-kami yang masih berjiwa muda dan masih ingin meneroka Kapali Carsi, meminta Pakcik Fuat lagi satu jam untuk berada di Bursa. Mula-mula Pakcik Fuat taknak bagi, puas beliau menerangkan keadaan persekitaran dalam bahasa Turki yang tidak kami fahami. Apa yang kami faham, kami ingin ke Kapali Carsi. Terasa macam ayam cakap dengan itik pula. Nakalnya kami ni. Hehe. Akhirnya dibenarkan.

Tepat jam 5 petang (terlambat la juga beberapa minit). Dengan hati yang gumbira kami bertolak pulang. Senyuman lebar di muka semua orang, kepuasan. Tiba-tiba terhenti kenderaan kami. 


Traffic jam :O

Uh-oh.

Husnuzon, husnuzon. Insyaallah sempat sampai. Heeee, kami cuba untuk optimis.

Salji lebat. Hari pula semakin gelap. Masuk ke highway, perjalanan lebih lancar tetapi bergerak perlahan sehinggalah ke suatu tempat di mana semua kenderaan terhenti. Hanya lampu merah yang kelihatan (lampu belakang kereta). Informasi daripada kawan kepada Pakcik Fuat mengatakan berlakunya kemalangan mungkin disebabkan jalan yang licin. Walaupun dalam bahasa Turki, kami pasti, itulah yang berlaku. (Hihi)

Kami pun membaca mathurat.

“Bukankah Dia (Allah) yang telah memperkenankan (doa) orang-orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepada-Nya, dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada Tuhan (yang lain)? Sedikit sekali (nikmat Allah) yang kamu ingat.” 
(An-Naml : 62)

Selesai mathurat, Alhamdulillah kenderaan mula bergerak. Sungguh, Allah-lah sebaik-baik pelindung bagi manusia. Perjalanan diteruskan walaupun salji masih lagi lebat, angin pun masih lagi kuat. Boleh terasa seperti van kami sedang berlawan menggagahkan diri di atas jalan licin yang menuruni bukit ini.

Detik cemas. Pakcik Fuat bersuara cemas dan risau dalam bahasa Turki. Kami yang tidak memahami cuba berbuat apa yang disuruh. Cermin belakang dilap. Merisaukan Pakcik Fuat tidak nampak belakang. “La! La! (Tidak! Tidak!)” Sekali-sekala berbahasa Arab. Apakah yang Pakcik nak? Kami tidak faham. Setelah membuat gaya tangan berpusing-pusing. Kata-kata Pakcik Fuat akhirnya diinterpretasi,  “Beratkan belakang van. Jalan licin, takut van tak stabil dan bergolek-golek”.
                  
Akhirnya kami berjaya melepasi zon bahaya. Namun, jam menunjukkan 7.00 petang dan perjalanan masih 38km. Hati merasa yakin, sempat untuk menaiki feri yang berlepas jam 7.30 petang. Yakin yang mungkin untuk  menyedapkan hati sahaja. Walau apa pun, Allah adalah sebaik-baik perancang.      
            
Kami bersedia mengemas beg serta barang-barang kepunyaan masing-masing. Bersedia untuk lari pecut ke garisan penamat (itu zaman sekolah). Bersedia untuk berlari mengejar kesempatan untuk menaiki feri pulang ke Istanbul.

Terminal feri kelihatan. Van diberhentikan.  Kami buka pintu dan membuka langkah seribu. Sempat mendengar “Kush! Kush!” Pakcik Fuat bersuara. Lari! Lari! Mungkin itu maksudnya. Sebelas pasang kaki berlari mengejar pintu masuk. Security check kami rempuh. Biarpun berbunyi, kami terus menuju ke Lounge 3 yang menulis Yenikapi (Istanbul) 7.30pm. Tetapi sudah gelap.

Ke mana pula seterusnya? Rempuh pintu keluar, mengejar feri dan melompat ke atasnya? Drama.

Jam di tangan menunjukkan 7.34 petang. Kami terhenti. Memandang ke luar. Melihat sebuah feri berlalu pergi, jauh dari pandangan.

Semua seakan tergamam. Kita terlepas feri? Kita terlambat 4 minit sahaja!

Kelihatan wajah Pakcik Fuat. Datang, mengambil berat akan keadaan kami. Melihatkan kami terlepas feri itu, sambil tersenyum Pakcik Fuat berkata dalam bahasa Turki yang bagi kami bermaksud “Itulah, dah kata pukul 4, nak pukul 5 jugak”.

Kami hanya tersenyum, mengetawakan diri sendiri.

“Sesungguhnya, penolongmu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang melaksanakan solat dan menunaikan zakat, seraya tunduk (kepada Allah).” 
(Al-Ma’idah : 55)

Sungguh, pertolongan Allah itu ada di mana-mana sahaja cuma melalui perantaraan-perantaraan yang tertentu. Pegawai-pegawai di situ datang membantu, memberi cadangan kepada kami bagaimana untuk pulang ke Istanbul. Sambil menunggu feri ke Pendik jam 8.15 malam, kami duduk mengambil ibrah (pengajaran) daripada apa yang baru sahaja berlaku kepada kami. Betapa tingginya kesabaran Pakcik Fuat, beliau tidak membebeli atau memarahi kami di sepanjang perjalanan walau sedikit pun. Hanya setelah kami ditinggalkan oleh feri itu baru Pakcik Fuat menyatakan dialog di atas. Malah, beliau tidak juga menurunkan kami di tengah-tengah jalan di kawasan pergunungan itu. Sebaliknya, sangat merisaukan keselamatan kami. Bagi kami, kita sepatutnya dengar dan patuh dengan kata-kata orang tempatan. Mereka yang lebih mengetahui keadaan dan situasi di kawasan tersebut. Teringat kata-kata Allah;

“…maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”
 (An-Nahl : 43)

Ada juga yang berkongsi mengatakan, bagaimana kalau situasi tadi berlaku di hadapan pintu syurga? Betapa kita berlari berkejaran tercungap-cungap dan bila tiba, kita tetap juga tidak dapat masuk. Muhasabah.

Kali ini kami berjaya menaiki feri, cuma ke destinasi yang lain. Jam 9.00 malam kami tiba di Pendik. Berdiri di stesen bas untuk ke Shishli. Angin bertiup kuat berserta salji. Bersama-sama kami membuat “bulatan haba”. Seorang Pakcik yang bersama di situ kemudiannya bertanya, “Are you going to Shishli? I’m going there too.” Bersinar-sinar mata kami dan terus menyuarakan, “Can we follow you?” Pakcik mengangguk tanda setuju. 

Alhamdulillah.

Pakcik yang turut kesejukan mengatakan seperti tiada bas yang akan datang dan dia ingin mengambil bas mini tetapi perlu berjalan jauh sedikit. Kami yang juga tidak tahan kesejukan dalam menunggu, sanggup untuk berjalan. Apa sahaja untuk pulang ke hostel. Sepuluh minit berjalan, kami pun menaiki bas mini yang tempat duduknya cukup-cukup sahaja untuk kami dan pakcik. Tetapi pakcik tidak duduk. Memberi ruang kepada penumpang lain.

Walaupun sudah lewat malam, pasti ada sahaja penumpang yang naik di setiap perhentian. Sempat juga kami melihat seorang penumpang yang memegang tasbih di tangan. Mengingati dan memuji Allah Yang Maha Esa walau di mana jua, bila-bila masa. Kami yang kepenatan, sekali-sekala terlena di situ. Bangun, tidur, bangun, tidur. Hingga tidak terkira bilangannya, namun kami masih belum tiba di destinasi Kardikoy. Pakcik kata dari situ, kami boleh ambil bot merentasi Selat Bosphorus untuk terus ke Eminonu dan sampai ke hostel. Kami semua “trauma” mendengar perkataan bot.

Memandangkan malam sudah lewat, Pakcik kata bot sudah tidak beroperasi. Maka kita akan ambil bas. Tibanya di Kardikoy jam sudah menunjukkan 12.00 malam. Alhamdulillah bas masih ada.

Pakcik memberitahu kami bahawa bas ini akan membawa kami terus ke Cevizlibag di mana kami boleh mengambil tram dan pulang ke hostel. Setibanya di Shishli, Pakcik pun turun meninggalkan kami dengan muka yang penuh kerisauan. Kami amat berterima kasih kepada Pakcik yang banyak membantu kami. Betapa lembutnya cara Allah menjaga dan melindungi kami. Subhanallah.

Tiba di Cevizlibag, kelihatan sebuah tram sedang lalu. Sekali lagi kami berlari mengejar tram itu. Namun, ditahan oleh pakcik pengawal. Katanya, itu bukan tram untuk penumpang. Tram sudah tidak beroperasi. Kami hampa. Namun, van mini kecil yang menunggu di tepi jalan yang akhirnya membawa kami pulang sehingga ke pintu depan hostel. Alhamdulillah, akhirnya selamat tiba.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?” 
(Al-Ankabut : 2)

Jaulah kami berbaki sehari lagi. Walaupun lewat dan penat malam itu, tentatif jaulah pada hari terakhir tetap kami penuhi. Jauh di lubuk hati, kami tahu, cabaran perjalanan ini masih belum berakhir.

Dengan hati yang berat untuk meninggalkan bumi Turki, kami tiba juga di lapangan terbang Ataturk seawal 6.00 pagi yang sejuk dan bersalji itu.

Melihatkan Information Board, penerbangan Turkish Airlines ke Moscow pada jam 8.30 pagi DIBATALKAN. Seolah-olah tiada apa-apa berlaku, semuanya menerima dengan tenang dan teruskan berjalan menuju ke kaunter tiket.

Alhamdulillah tiket kami ditukarkan ke penerbangan yang seterusnya pada hari itu. Setelah lima jam menunggu akhirnya kami check-in, mengharapkan segalanya lancar dan dipermudahkan. Hampir waktu boarding, pengumuman dibuat mengatakan penerbangan kami ditunda sejam. Melihatkan cuaca di luar, memang seperti tidak ada kapal terbang yang mampu untuk berlepas. Demi keselamatan, lebih baik penerbangan ditunda. Setiap jam pengumuman baru dibuat, menambah tempoh penundaan waktu boarding. Sehinggalah jam 7.00 petang akhirnya gate dibuka, membenarkan kami boarding.

Walaupun telah memasuki kapal terbang, dua orang daripada ahli jaulah kami tidak mendapat tempat duduk kerana nombor seat yang diberi di tiket tidak wujud. Mungkin disebabkan penerbangan pagi  yang dibatalkan, kami menaiki Airbus bagi menampung jumlah penumpang yang ramai sehinggakan para pekerja tersalah memberi nombor seat. Di dalam flight Airbus hanya mempunyai seat yang berabjad AB-DEF-JK. Namun yang tertera di tiket adalah C.

Kerusi-kerusi yang ada kelihatan seperti hampir dipenuhi semuanya. Alhamdulillah setelah beberapa minit menunggu, pramugari memberikan seat yang kosong kepada mereka berdua. Hampir dua jam  menunggu di dalam kapal terbang baru akhirnya kami berlepas ke Moscow, iaitu pada jam 9.45 malam. Dan Alhamdulillah juga kami selamat tiba di Moscow dan kembali ke lokaliti masing-masing.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan ia mendapat seksa dari kejahatan yang dikerjakannya. (Mereka berdoa) “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sepertimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Al-Baqarah : 286)

Setiap jaulah pasti ada kisahnya yang tersendiri. Sungguh, Allah itulah yang paling sayang dan yang paling cinta kepada kita dan Dia tidak akan membebankan kita dengan apa yang kita tidak mampu. Alhamdulillah, ahli-ahli jaulah ini menerima segala ujian yang Allah beri dengan tenang, malah dengan senyuman. Tidak ada yang merungut, tidak ada yang merengus. Semuanya redha akan perancangan-Nya.

Ke mana-mana sahaja pun kita pergi di dunia ini, memang kita mampu untuk mempelajari sejarah di sebalik tempat-tempat yang dikunjungi. Namun, ukhwah sesama ahli jaulah, pengalaman, serta perkongsian yang diberi pasti tidak akan diperolehi di saat lain melainkan sewaktu berjaulah. Waktu ini jugalah kita dapat mengenali dengan lebih dekat ahli jaulah kita. Yang sudah kenal menjadi lebih rapat, yang baru nak kenal kini menjadi kenal bahkan rapat. Sungguh manis ukhwah yang terbina. Sama-sama bergembira, sama-sama bersabar, sama-sama membantu mengharungi kesusahan.

“Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan akan Kami uji perihal kamu.”       
(Muhammad : 31)

Kata-kata Allah adalah yang paling benar sekali. Dia akan menguji kita untuk mengetahui sama ada kita benar-benar beriman kepada-Nya. Jaulah merupakan satu medan ujian yang Allah akan uji keimanan kita. Dan perihal ini jugalah yang akan membawa kita lebih hampir dengan Dia. Insyaallah.

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”              
(Al-Balad : 27-30)