"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam islam secara KESELURUHAN dan janganlah kamu ikuti langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu." (2:208)

21 January 2013

Perancis-Bak Cendawan Tumbuh Selepas Hujan


Up up and away! In sha Allah I'll be going to France and Italy this winter holidays. So this is just a little something that I did. Just wanna share about France ^_^

Fe-rran-sse (France), sebutan Melayu ala-ala French, begitulah bagaimana kita menyebutnya bila ingin mengambil perasaan seperti berada di sana. Sebuah negara yang cukup indah, yang terkenal dengan kecantikan seni bina bangunannya, yang penuh dengan kisah romantis, yang berbau wangi dengan pilihan roti dan pastri yang pelbagai, yang disaji dengan kepelbagaian pasta dan pizza. Pastinya, kita suka membayangkan diri kita, sedang duduk di sebuah kafe, bersama orang yang tersayang (ehem, akhawat kita semestinya), berlatar belakangkan Eiffel Tower, Eclair dan Macaroons di atas meja, serta secangkir cokelat panas di tangan. Yuuuummmm! Datang pula seorang pemuzik, memainkan alunan violin dengan muzik yang romantis yang mencairkan hati pendengarnya. Waah Waah, sedap berangan, kan? 

Kini, ianya semua di hadapan mata anda. Impian bukan angan-angan. Impian kini menjadi kenyataan. 

Biasanya, begitulah tanggapan kita bila berkata mengenai negara ini. Eiffel Tower, roti, pastri, spaghetti, pasta, muzik, romantik, fesyen dan macam-macam lagi. Tetapi tahukah anda? Negara cinta ini kini didiami oleh penganut Islam yang paling ramai antara negara-negara Eropah yang lain. Di sini sahaja, lebih daripada 70 ribu penduduknya adalah Muslim. Malah, jumlah ini semakin meningkat dari saban hari ke saban hari. 

Maka ayuhlah kita menyambungkan angan-angan kita itu untuk berjumpa dan berkasih-sayang pula bersama saudara kita di sini. Melihat bagaimana kehidupan serta perjuangan mereka di sini. Di samping isu Palestin dan Syria yang tidak pernah lekang dari laman MukaBuku, isu perjuangan umat Islam di Perancis juga kadang-kala menyinggah menyapa kita. 

Valerie, seorang doktor yang cemerlang, sudah memeluk Islam selama 2 tahun. Ibu bapa serta keluarganya tidak pernah mengambil tahu dan tidak ingin mengambil tahu tentang apa itu Islam sejak Valerie memeluk Islam. Mereka hanya tahu, mereka menentang Islam. Namun, ini tidak menjadi penghalang bagi Valerie untuk terus berada dalam Islam serta memperjuangkannya. Malahan, sebelum memeluk Islam pun, Valerie sendiri tidak bersetuju dengan pengharaman pemakaian tudung di sekolah serta beliau merasakan yang manusia zaman kini menjadi terlalu materialistik. 

Bagi Kamil Saidi pula, "Ketika saya membesar, saya kecewa kerana saya sangat sukakan makanan Perancis, tetapi seperti semua umat Islam, saya terpaksa memakan ikan ataupun makanan 'vegetarian' apabila saya pergi ke restoran. Saya selalu teringin nak makan itik dan kambing, tetapi ianya tidak halal." Kini, Kamil Saidi merupakan pemilik bagi sebuah Restoran Perancis-Halal yang mensajikan makanan Perancis yang menggunakan daging-daging halal. Restoran beliau yang bernama Les Enfants Terrible terletak di 197 Avenue Daumesnil, Paris. 

Terasa teruja? 

Ketahuilah bahawa di Fe-rran-sse juga, pembinaan masjid lebih kerap dijalankan daripada pembinaan Gereja Roman Katholik. Jumlah masjidnya telah meningkat dua kali ganda kepada lebih daripada 2,000 sejak sepuluh tahun lalu (menurut laporan penyelidikan "Membina Masjid:. Tadbir Islam di Perancis dan Belanda"). Pemimpin Islam yang paling menonjol di Perancis, Dalil Boubakeur, yang merupakan rektor Masjid Besar Paris, baru-baru ini menyeru untuk menggandakan lagi jumlah masjid di negara ini kepada 4,000 buah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Dalam sebuah kajian yang dijalankan membuktikan bahawa Islam kini dalam perjalanan untuk mengatasi Roman Katholik sebagai agama yang dominan di Perancis. Dengan bilangan yang semakin meningkat, umat Islam di Perancis menjadi semakin tegas dan menonjol. Dalam sebuah kes, sekumpulan saudara kita meminta Gereja Roman Katholik untuk memberikan kebenaran untuk menggunakan gereja yang kosong sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah lalu-lintas yang disebabkan oleh ribuan umat Islam yang menunaikan solat di atas jalan, terutamanya ketika solat Jumaat. Isu ini telah menarik perhatian politik negara pada tahun 2010 bilamana Marine Le Pen, pemimpin Parti Nasional Perancis menyamakan perbuatan solat Jumaat itu seperti sebuah pekerjaan. Maka hal ini telah dibenarkan. Mengikutkan logik akal mereka yang tidak memahami Islam, itulah alasan kukuh yang telah Allah ilhamkan bagi mereka bagi memudahkan hamba-hamba-Nya untuk beribadat kepada-Nya. Allahu akbar!

Banyak lagi kisah perjuangan umat Islam yang ada di Perancis dan sehingga kini pun masih ada dan tentunya halangan dan cabaran dalam menyebarkan Islam tak akan pernah hilang. Kita lihat, tingginya semangat umat Islam di Perancis memperjuangkan hak mereka sebagai Muslim malah pastinya, dakwah mereka berlangsung dengan hebat sekali sehinggakan bilangan penganut Islam meningkat bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. 

Dalam kita menghirup cokelat panas di sebuah Kafe Roti & Pastri berhampiran Louvre, marilah sama-sama kita cuba menyelami jiwa-jiwa serta semangat-semangat yang ada dalam individu-individu muslim di Perancis untuk kita bawa ke tanah air kita. Agar, kebenaran Islam mampu menyinar kembali di tanah tumpahnya darah kita. Alunan muzik yang romantis terus bermain di telinga, tatkala roti yang lembut dan gebu menyinggah ke mulut, kemanisan pula terasa. Mata tertutup, membayangkan kemenangan Islam yang pasti. 


No comments:

Post a Comment