"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam islam secara KESELURUHAN dan janganlah kamu ikuti langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu." (2:208)

03 August 2011

suka jalan malam?

Assalamualaikum semua :)


Suka jalan malam? :D haa, jangan salah faham kat sini eh. Jalan malam yang saya maksudkan di sini adalah aktiviti night walk yang selalu orang buat bila ada kem. Haa, minggu lepas saya mengikuti sebuah kem yang dipanggil SUPER - Summer Camp Europe. Kem ini mengumpulkan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di negara-negara di Eropah seperti Russia, German, France, Czech Republic, Poland dan Austria.


Salah satu aktiviti yang telah dianjurkan adalah night walk. Hmm, sebelum ni memang dah pernah buat aktiviti macam ni tapi kali ini lebih bermakna buat saya.

Aku orang first?? No torchlight?? Haaa?? Boleh ke ni?? Fuuh, nasib baik masuk tiga-tiga orang sekali. Tapi aku tetap yang di hadapan :S erkk, tak pernah-pernah jadi orang depan ni. Gelapnyaaa~ Aku ni dah la paling fobia dengan tempat gelap, tapi tempat gelap yang sampai tak nampak apa-apa lah. Langit terang malam ini. Umm, insyaallah nampak. 


Berpandukan tali rafia yang diikat dari pokok ke pokok serta deria sentuhan kaki dan tangan, aku memberanikan diri untuk maju ke hadapan. Ya lah, dengan dua orang di belakang, menjadi tanggungjawabku untuk memberitahu apa yang ada di hadapan. Alhamdulillah, perjalanan kami masih lancar.


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah:286)


Sungguh, memang Allah itu Yang Maha Mengetahui. Allah tahu malam ini aku boleh lakukannya. Aku boleh atasi fobia gelap itu dan antara kami bertiga, Allah jadikan aku yang di hadapan untuk membantu yang lain. Kerna Allah juga tahu kemampuan setiap hambaNya yang lain.


Hatiku tenang. Perjalanan diteruskan. Tali yang menjadi panduan tidak ku lepaskan. Hanya seketika jika perlu mengelak beberapa batang pokok. Tali itu kadang-kadang tidak kelihatan jika aku pandang jauh ke hadapan. Namun, di depanku pasti aku nampak sinar pantulan tali rafia itu. Terlintas di fikiranku,


"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah." (Ali-Imran:103)

"Barang siapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus." (Al-Baqarah:256)

Allah mengumpamakan agamaNya ibarat tali yang membawa manusia ke jalan yang benar. Tali yang menjadi pegangan dan panduan bagi manusia agar beriman kepada Allah untuk memperoleh keredhaanNya. Seperti juga aktiviti ini, tali ini diletakkan di jalan yang betul, yang akan membawa kita ke penghujungnya. Jika terlepas kita daripada tali itu, pasti kita akan melalui jalan yang tidak betul dan sesat di dalam hutan itu. Tidakkah begitu realiti kehidupan kita? Tali itu telah Allah sediakan untuk kita. Sungguh, Allah itu Maha Penyayang, Dia tidak akan pernah mahu hamba-hambaNya sesat di dunia ini kerna Allah tahu, apa yang Dia sediakan di akhirat kelak jauh lebih baik daripada apa yang ada di dunia ini. Maka Allah sebut dalam Al-Quran yang mulia, berpeganglah pada tali agamaKu.

Aku memegang erat tali itu. Langkahku diteruskan. Kami dimaklumkan bahawa kami akan tiba di puncak sebagai tempat terakhir. Maka perjalanan kami seketika mendaki dan seketika menuruni. Pendakian pula cukup curam. Beberapa kali kaki ku hampir tergelongsor namun, demi keselamatan mereka yang di belakang, aku menstabilkan diri atau berpaut pada pokok yang terdekat. Dan sesekali aku terhenti, menunggu yang lain. Penat tidak dinafikan. Bukit-bukit yang curam, ada yang berpasir. Yang itu licin dan menyukarkan pendakian tanpa ada pokok di sekeliling. Cahaya langit yang menyinari sahaja yang memudahkan aku mengorak langkah.

" Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman", dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-'Ankabut:2-3)

Kalau benar seseorang hamba itu ingin beriman kepada Allah, dia pasti akan diuji. Ada suatu ayat (tak pasti hadis, ayat Al-Quran atau kata-kata seseorang) tidak sempurna iman seseorang sehingga dia diuji. Sedangkan mendaki bukit walaupun berpandukan tali mempunyai halangan serta cabaran yang tersendiri, inikan lagi ujian dan dugaan dalam perjalanan mengejar cinta Ilahi. Namun, bagiku cabaran yang sebenar terletak di jalan dakwah iaitu tanggungjawab kita sebagai khalifah. 

Ujian itu sendiri Allah nyatakan di atas, adalah untuk mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta. Jika benar orang itu beriman kepada Allah, segala ujian yang menimpa akan diterima dengan redhanya dan dihadapi dengan kesabaran kerana dia tahu, semua itu adalah untuk Allah. Dan dia tidak akan berganjak walau sedikit dari jalan Allah ataupun melepaskan tali agama Allah itu. Namun, dustalah orang itu jika dia kata dia beriman namun apabila ditimpakan ujian, dia tidak redha malah berputus asa dengan rahmat Allah. 

" Dia (Ibrahim) berkata, "Tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat." (Al-Hijr:56)

"Katakanlah, "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Az-Zumar:53)

Bukit demi bukit didaki. Aku terus gerak kehadapan sehinggalah tiba-tiba.. Eh, mana tali?? Tali sudah tiada. Perjalanan sudah berakhir. Nak pergi mana lepas nii?? Hanya hati yang berbicara. Sebagai orang yang paling hadapan, hanya aku yang mengetahui, tiada tali lagi selepas ini. Sehinggalah, lampu disuluh. "Tahniah, awak sudah berjaya. Ikut lampu ni dan teruskan ke dataran." Dengan berpandukan cahaya lampu yang disuluh, kami bergerak menuju ke destinasi. Setibanya di sana, cahaya menyinari mata. Alhamdulillah, tempat terang! Ianya merupakan sebuah kawasan lapang yang berbatu dengan pemandangan bandar Putrajaya dan Bandar Baru Bangi pada waktu malam. Subhanallah. Sungguh indah. Aku pun duduk bersama yang lain, menikmati pemandangan, merehatkan badan.

Agak-agak boleh dapat tak apa yang saya cuba kaitkan?

Aku terfikir sambil duduk. Jalan yang ku tempuhi ada naik ada turunnya. Ada susah ada senangnya. Begitulah hidup. Allah telah sediakan tali. Kita hanya perlu ikut. Apabila tiba waktu Penentuan, masuklah kita sama ada ke syurga atau ke neraka (na'uzubillahminzalik). Orang yang dibelakang kita adalah tanggungjawab kita. Menjadi tanggungjawab kita untuk turut membawa mereka ke jalan yang benar, insyaallah jalan yang sama dengan kita. Jikalau kita tidak menjaga mereka sepanjang perjalanan itu, mereka mungkin akan ketinggalan ataupun sesat. Dan pengakhirannya, boleh jadi kita ditarik keluar dari syurga kerana orang belakang yang kita tinggalkan. Dan boleh jadi, orang belakang yang menarik kita ke syurga kerana apa yang telah kita lakukan kepadanya. Hurmm, aku tak sangka aku boleh berfikir macam ni daripada aktiviti night walk itu. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana telah mengilhamkan kepada ku cara untuk mensyukuri nikmatMu.

Doa Nabi Sulaiman:
"Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa, "Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri  nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang saleh." (An-Naml:19)

"Dan kepada setiap  jiwa diberi balasan dengan sempurna sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya dan Dia lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan." (Az-Zumar:70)


No comments:

Post a Comment