"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam islam secara KESELURUHAN dan janganlah kamu ikuti langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu." (2:208)

12 December 2011

The Red Cake is The Red Velvet

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah

Dengan kuasa dan izin Allah, usaha saya menjadi pada hari ini. Iaitu.....membuat kek!


Kek ini khas saya buat sempena Hari Lahir seorang sahabat pada hari ini. Sanah helwah! Lately ni macam rajin je nak try resepi-resepi baru. Minggu lepas buat puding sagu dan Shepherd's Pie. This week pula, jeng jeng jeng...

it's the famous red cake! The Red Velvet!

Hari tu pernah la juga try buat masa kat Malaysia, tapi tak buat kek, buat mini muffin berperisa Red Velvet :D

Kali ini saya kembali bersama resepi yang sama tapi kali ini hasilnya adalah kek! (my first cake!)

Bermulanya perkenalan dengan Red Velvet adalah bila datang ke Moscow. Sisters di sini rajin ber'baking' bila ada free time dan suatu hari, saya disaji dengan Red Velvet Cupcakes. Waah, sangat menarik! Warna merah! Eh, sedaplah! Sejak dari saat itu, Red Velvet menjadi kegemaran saya dan kami-kami yang baru berkenalan dengan kek merah ini.

Resepi yang saya gunakan sebenarnya saya ambil dari internet (nak minta from sorang sister ni tapi tak dapat-dapat. huhu) Tapi bila saya cari balik resepi ni, saya tak jumpa dah. Makanya, saya ingin berkongsi dengan anda semua resepi yang saya gunakan. Bagi sesetengah orang mungkin susah dan leceh namun bagi saya resepi ini mudah untuk saya ikuti dan mencari bahan-bahan yang diperlukan :)

The Red Cake is The Red Velvet


Bahan A (ayak bersama)
375 g tepung gandum
20 g serbuk koko
1 tsp baking soda


Bahan B
170 g mentega
350 g gula kastor
2 tsp esen vanila
3 biji telur grade A*


Bahan C
350 ml whipped cream/yogurt**
1 tsp cuka
2 1/2 tsp pewarna merah***
(satukan semua, biarkan selama 10 minit)


Topping cream cheese
250 g cream cheese ****
80 g gula aising
1 tsp esen vanila
180 ml UHT whipped cream


= kek 9" = 30 cupcakes


1. Panaskan oven 180c. Sediakan loyang/cawan kertas.
2. Satukan bahan A, dan ketepikan.
3. Pukul bahan B hingga kembang, masukkan telur satu per satu diikuti bahan A dan bahan C berselang seli. Pukul hingga sebati.
4. Sudukan 2/3 adunan ke dalam cawan kertas dan bakar 20-25 minit (bagi cupcakes) atau 40-45 minit (bagi kek). Sejukkan dahulu.
5. Cream cheese : pukul cream cheese bersama gula hingga lembut, masukkan esen vanila dan whipped cream sedikit demi sedikit, pukul hingga bergaul rata dan tidak berketul.
6. Paipkan ke atas cupcake dan hias mengikut suka.


Nota kaki:
tsb - teaspoon, not tablespoon ye :)
*saya tak guna Grade A punn, guna telur biasa je :)
**umm tak pernah lagi la guna yogurt so taktau kalau ada beza ke tak. huhu :)
***letak warna ikut cita rasa, nak MERAH ke, nak merah je ke :)
****cream cheese, kepada rakan-rakan di Rusia, cream cheese adalah сливочный сыр yang kita selalu jumpa kat kedai tuu :)

Inilah hasil dalamannya,




Takdelah hebat mana kek merah saya. Al-maklumlah, saya buat dalam keadaan yang tergesa-gesa. Disebabkan dah pernah buat sekali sebelum ni, makanya tangan saya terus mencapai itu dan ini tanpa ketelitian kerana mengejar masa. Alhamdulillah menjadi juga kek saya yang pertama :D


"Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." (Al-Hadid : 23)


Sedikit peringatan buat kita semua dalam apa jua yang kita lakukan dalam hidup ini, bila mana kita tidak berjaya melakukan sesuatu atau kehilangan sesuatu, janganlah kita bersedih hati. Dan bila mana kita berjaya membuat sesuatu atau beroleh sesuatu, jangan pula kita terlalu gembira. Cukuplah kita bersederhana dan bersahaja dalam menerima apa sahaja dalam kehidupan kerana dalam ayat 22 surah yang sama, Allah menyatakan kerana semuanya telah ditulis di Luh Mahfuz.


Maka apa-apa yang terjadi dengan kek merah anda atau apa-apa resepi lain atau apa-apa sahaja dalam kehidupan ini, janganlah bersedih dan janganlah terlalu gembira. Sungguh, Allah itu kan tak suka pada orang yang sombong dan membanggakan diri.


Sekian, wallahualam :)

09 December 2011

Choose

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah, jika anda berjaya membuka blog ini, bermakna anda masih lagi bernafas, anda masih lagi mampu membaca, anda masih mampu berfikir, anda masih waras, dan anda masih hidup di muka bumi Allah ini. Bersyukurlah pada Allah kerana Dia masih memberi peluang kepada kita untuk bertaubat dan beribadat kepada Dia :)

Insyaallah hari ni kita tengok satu video. Ni, video kat bawah ni. Aci-cuba-try-test tengok :)


Dah tengok? Dah dengar? Dah hayati?

"My dear brothers and sisters, choose your priorities from now and say the most important things for you "

"Katakanlah, "Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." 
(At-Taubah : 24)

Saya sangat suka ayat ni. Kalau saya berada antara dua keadaan yang memerlukan saya untuk memilih yang mana satu untuk saya lakukan, ayat inilah yang akan berlegar-legar di kepala saya.

Kita kata kita sayang Allah. Kita kata kita sayang Rasulullah. Kita kata kita nak masuk syurga. 

Tapi....perbuatan kita sehari-hari itu lebih kepada hal dunia. Jadi, macam mana kita nak masuk syurga itu kalau apa yang kita buat adalah untuk keuntungan duniawi?

Haa, macam mana? Boleh ke agaknya?

Allah kata kat situ, "maka tunggulah sehingga Aku memberikan keputusanKu"

Agak-agak Allah bagi keputusan apa?

Hmmm....muhasabah muhasabah

06 December 2011

Di Luar Winter, Di Dalam Spring

Bismillahirrahmanirrahim.

Sem ini saya kembali bercucuk tanam :D

Bercucuk tanam?

Ya, saya bercucuk tanam. Saya menanam pokok. Hihi.In other words, gardening :) Saya sangat sukakan pokok dan suasana yang hijau sebab di rumah saya di Malaysia, mak dan ayah saya menanam macam-macam pokok.

Tapi di sini, hanya satu jenis tumbuhan yang baru saya hadirkan di rumah ini. (Nanti nak tambah lagi)

Tadaaa! Ni lah pokok saya. Saya tak sempat nak mengambil namanya di tag harga hari tu :( Sebab namanya cukup moden dan panjang. Tapi bagi saya, ia adalah seperti ros mini.










                                     
Alhamdulillah, Ros Mini saya hidup subur sekarang :) Kalau anda perasan ayat saya awal-awal. Saya "kembali" bercucuk tanam. Maknanya, dulu saya pernah bercucuk tanam, berhenti dan sekarang saya bercucuk tanam kembali.

Eh, cam skema lak bercucuk tanam. Huhu.

Ya, saya pernah tanam pokok sebelum ni. Lebih tepat lagi, menyemai benih. Benih cili :D

Kenapa benih cili? Sebab cili di Rusia mahal dan tak cukup kaww. Hihi. Dengan semangat yang membara, saya pergi membeli tanah, pasu dan bekas penyiram. Benih saya menggunakan benih cili daripada cili kering.

Maka saya pun memulakan kerjaya sebagai petani :D

Setiap pagi saya akan menyiram semaian saya. Sampai buat sticky note dekat almari supaya saya tak lupa. Ya lah, nak pastikan cukup semuanya. Air, nutrien, cahaya.

Lama kelamaan ia mula tumbuh. Tumbuh? Macam tak sesuai pulak perkataan ni. Maklumlah, bukanlah orang gardening sangat. Ignore je lah perkataan-perkataan yang macam pelik ye (^_^)

Seronok sangat tengok pokok ni berjaya hidup. Subur. Berlumba-lumba untuk mendapatkan yang lebih, untuk tumbuh lebih tinggi.

Suatu hari, ketika mentadabbur Buku Allah (Al-Quran), saya terjumpa satu ayat yang buatkan saya terhenti.

"Pernahkah kamu perhatikan benih yang kamu tanam? Kamukah yang menumbuhkannya ataukah Kami yang menumbuhkan?" 
(Al-Waqi'ah : 63-64)

Memang tersentap. Selama ini, from the first moment saya semai benih tu, saya hanya berfikir secara saintifik apa yang ia perlukan, air, udara, cahaya. Air, udara, cahaya. Air, udara, cahaya. Itu yang saya duk ulang ulang. And then nutrien. Saya fikirkan pasal persaingan untuk mendapatkan lebih nutrien. So ada yang tinggi, ada yang rendah. Dan ada juga yang tidak mampu hidup. Semua yang saintifik. Semua yang kita belajar zaman sekolah dulu, sejak Darjah 4 lagi. Subjek Sains.

Saya terlupa akan satu kuasa yang lebih besar iaitu Allah. Terlupa akan kuasa Allah yang menghidupkan sesuatu dari yang mati. Seperti yang kita belajar dulu, benih adalah non-living thing. Dan kemudian apabila ia mula hidup dan tumbuh menjadi sebatang pokok, ia kini menjadi living thing. Bukankah hanya Allah yang mampu menghidupkan dari sesuatu yang mati?

Dan yang menghidupkan benih itu adalah Allah. It's as simple as that. Tapi saya terlepas pandang kerana terlalu asyik dengan eksperimen sains pada zaman sekolah dulu :( Entah saya mulakan dengan Bismillah ke tak. Tak ingat. Huhu.

Astaghfirullah. Kita terlalu fikirkan ilmu yang duniawi tanpa mengingat kuasa-Nya yang Agung. Kuasa-Nya yang Maha Mencipta lagi Maha Menghidupkan.

Sebenarnya, kita memang memerlukan ilmu itu. Sangat memerlukan ilmu. Kerana daripada ilmu itulah kita dapat mengenal kuasa Allah. Mengenal bagaimana Allah memulakan suatu penciptaan. Dan daripada ilmu itulah kita sebagai hamba-Nya sepatutnya berfikir akan kebesaran Dia. Ilmu itu juga daripada Dia kan?

Allah sangat suka dan sayang kepada hamba-Nya yang suka berfikir. Tetapi, bukan sekadar dengan hanya berfikir ketika belajar, berfikir menyelesaikan masalah, tetapi yang sebenarnya berfikir mengenai ciptaan dan kebesaran-Nya, berfikir mengenai betapa hebatnya Dia. Sebab itu Allah kata,

"....Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal sehat!" 
(Al-Baqarah : 197)

Orang yang mempunyai akal yang sihat pasti akan nampak kebesaran Allah Yang Maha Esa dan sepatutnya bila itu berlaku, oramg itu akan bertambah keimanannya kepada Allah SWT. 

Makanya, bila kita menuntut ilmu-Nya (sains pun ilmu Allah) berfikirlah akan ciptaan dan kebesaran-Nya. InsyaAllah akan lebih berkat ilmu itu malah menambah keimanan kita kepada Dia.

Ya, ini pengajaran dan peringatan buat diri saya. Kita ni sering lupa kan. Huhu. 

Wallahualam :)

01 December 2011

Ku Mencari-cari

Bismillahirrahmanirrahim

Hatiku terasa kosong. Hatiku seakan keras. Hatiku seakan tidak mampu merasakan apa-apa. Hatiku....
terasa dipenuhi dosa. Namun, sedikit pun air mata tidak mampu aku alirkan.

Ya Allah, di manakah hatiku?

Di manakah hatiku??

"Ya Allah, Ya Rabb, sesungguhnya Engkaulah yang memegang hatiku. Kau lembutkanlah hatiku. Kau bukakanlah pintu hatiku agar aku dapat menerima hidayah dan taufik-Mu. Kau lahirkanlah rasa cinta dalam hati ini terhadap-Mu. Jadikanlah hati ini, hati yang akan tersentuh dengan ayat-ayat-Mu dan kebesaran-Mu. Jadikanlah hati ini, hati yang akan menangisi dosa-dosaku yang lalu..."

Ku tahu, ku bakal menjejak umur baru. Ku tahu ku perlu melakukan hijrah baru.

Ku buka langkahku. Menjejaki Rumah Mulia-Mu. Di Moscow, hanya 4 yang baru ku kenal pasti dan hanya satu yang pernah ku kunjungi - Rumah Hijau. Kali ini, aku menuju ke Rumah baru.

Rumah baru terletak tidak jauh dari stesen metro Park Pobedy. Tidak jauh - bagi yang sanggup menghadapi apa sahaja demi redha-Nya. Ku kuatkan kakiku. Hatiku berdebar-debar. Tercari-cari akan Rumah-Mu Ya Allah.

Hampir 30 minit berjalan dalam kesejukan musim sejuk, akhirnya ku lihat lambang bulan di kubah-Mu. Gembiranya hati mengetahui ku menghampiri destinasi.

Subhanallah. Indahnya Rumah-Mu Ya Allah.

Segala persiapan ku lakukan. Alhamdulillah ku sempat masuk sebelum berkumandang azan Maghrib.

Solat sunat tahiyatul masjid tidak ku tinggalkan.

Berangkatnya kedua tanganku mengucap takbir, berderai air mataku.

Ya Allah, sungguh, kasih-Mu tidak pernah meninggalkan aku. Cuma aku yang melupakan-Mu. Astaghfirullah Astaghfiirullah Astaghfirullah. Ampunilah dosa hamba-Mu ini Ya Allah. Ampunilah aku Ya Allah.

Bercucuran air mataku yang selama ini tidak mampu dikeluarkan.












[petang 29 Nov]

Maka, bila hati kita tidak mampu lagi untuk merasakan apa-apa ketika membaca ayat-ayat Allah serta ketika berbuat suatu dosa, segeralah bertaubat kepada-Nya. Carilah apa jua cara untuk terus menghidupkan hati kita agar ia tidak terus malap dan terus malap sehingga tidak lagi bercahaya. Jagalah hati kita. Peliharalah hati kita. Wallahualam.


"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusiaMereka memiliki hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah."
 (Al-A'raf : 179)